Friday, August 5, 2011

DENGAN NAMA EKONOMI KITA HIDUP DAN KITA MATI IV

RE: SATU LAGI MALAPETAKA

Kelmarin, sedang aku sedap melayan kemabukkan Twitter, aku terbaca di garismasa Twitter daripada salah seorang sahabat aku @comradenami, di situ beliau ada menyatakan rasa terharunya selepas selesai membaca salah satu entri blog yang ditulis di blog Tukar Tiub, dan anda boleh baca entri itu di sini.

Bergegas aku membuka laman blog Tukar Tiub, terliur aku ingin mambacanya, mungkin entri kali ini sudah kurang baur-baur politiknya. Ya, memang benar, salah satu entri terbaik dari Tukar Tiub jika dibandingkan entri-entri lain yang menganjing Bik Mama dan Suami beliau.

Aku bukan seorang yang purist dalam skop environmentalist, namun di dalam darah aku mengalir rasa sayang dan cinta akan alam semulajadi ini, mungkin ia disakakan dari Abah aku dan dalam masa yang sama ia sudah menjadi skop bidang kerja aku yang memerlukan benar aku dekat dengan alam semulajadi dan isi-isinya.

Semua sedia maklum, negara kita kononnya sekarang berada dalam proses membangun, dan proses itu dikatakan berjaya. Kita menghampiri status negara maju, namun, yang maju itu hanya bangunan tinggi-tinggi, yang maju itu hanya stok-stok saham, yang maju itu hanya kilang-kilang, yang maju itu hanya loji-loji kuasa, dan yang maju itu hanya para kapitan-kapitan yang menyogok dan merasuah. Tetapi majukah mentaliti rakyat kita.

Memang benar, kita dihimpit oleh desakan ekonomi. Para petani harus menebang dan memugar tanah-tanah bukit untuk bercucuk tanam demi sesuap nasi dan sehari gaji. Tanah serelung sekakangkang kera ditanam pisang dan jagung diselang seli kacang panjang dan ubi kayu. Tiga perempat hasil dijual di pekan, satu perempat disimpan buat mengisi kantung-kantung anak isteri. Itu lumrah hidup petani.

Itu kisah petani. Kebun sekangkang kera, cukup makan. Primitif.

Lereng-lereng bukit, yang dahulunya megah dengan pohon-pohong keruing, meranti, tualang, tampoi, dan depu, menjadi pasak bumi, menjadi tempat ungka dan siamang bergayut, menjadi sumber buah bagi napuh dan pelanduk di bawah, menjadi tempat gajah menggaru belakang, menjadi tempat harimau menanda teritorinya, menjadi sangkar lebah dan kelulut juga makanan kepada sang beruang,  tempat burung-burung enggang bersarang di celahan rekah lubang pokok, dan tumbangnya pokok itu secara semulajadi akhirnya menjadi makan kepada parasit dan kulat tumpang hidup, hingga akhir hayat pokok itu jasanya belum habis.

Namun kini, hanya tinggal lereng-lereng botak dan berlumuran darah luka aliran air bukit melecetkan tanah merah derenyak dengan tayar-tayar besi jentolak dan jengkaut serta lori-lori hantu mengangkut pasak,tempat bergayut, sumber makanan, tempat menggaru, tempat menanda, sangkar sumber makanan, dan tempat bersarang keluar dari tempat ia berhak mati dan mereput.

Semua ini terjadi atas dasar ekonomi dan pembangunan.

Untuk pengetahuan anda, hidupan liar di dalam hutan senantiasa bergerak dalam lingkaran berkeliaran dan ia diwarisi turun temurun. Kita ambil gajah sebagai contoh. Gajah yang mendiami kawasan hutan kita adalah dari spesis Elephas maximus yang tingginya adalah dari 2.5 meter hingga 3 meter pada paras baru dan mencecah berat sehingga 5,000 kg atau 5 tan sentiasa bergerak dalam kumpulan yang terdiri dari 3 sehinggah 40 ekor dan dianggotai seekor gajah betina paling tua. [sumber]

Dengan mempunyai fizikal yang besar, gajah memerlukan sumber makanan yang banyak, tambahan pula jika bergerak ia bergerak dalam kumpulan. Namun secara kasar, sumber makanan gajah yang bersifat herbivor tidak susah didapati di dalam hutan kita yang kaya dengan tumbuh-tumbuhan. Diet gajah terdiri daripada buluh, rotan, spesis-spesis palma lain dan pisang hutan. Sumber ini banyak di dalam hutan kita, yang menjadi permasalahan ialah, gajah adalah sejenis haiwan nomad dan tidak menempat di sesuatu tempat dalam sesuatu tempoh masa lama, ia bergerak dari satu kawasan ke satu kawasan secara berkumpulan.

Jika sesuatu kumpulan gajah itu pernah singgah di suatu tempat di dalam hutan sekan-akan transit, dengan izin Maha Pencipta gajah akan tiba lagi di tempat itu suatu masa lain, kerana ia seakan-akan bergerak di dalam suatu pusingan, ia adalah ilham yang ada pada gajah demi menjaga keterusan sumber makanan mereka sendiri.

Tetapi, apa bakal terjadi, jika terdapat campur tangan manusia dalam hal itu. Kitaran yang selama ini bergerak lancar dengan transit-transit yang sempurna, tiba-tiba rosak salah satu transit itu, rosaknya menjadi kebun pisang, getah, nanas, tebu, sawit dan tidak kurang juga menjadi penempatan kepada manusia. Gajah yang selama ini di dalam memorinya, tempat itu adalah transit mereka dahulu kini menjadi ladang, menjadi penempatan, menjadi Felda dan sebagainya. Hiawan tiada akal, mereka cuma ada ilham dan ingatan, jika dahulu itu transit mereka, selamanya itu transit mereka, itu hak mereka, itu sumber makanan mereka, itu tanah meraka.

Jadi, berlakulah, apa yang kita gelarkan konflik hidupan liar, konfilk yang pada dasarnya dimulakan oleh kita sendiri, yakni manusia, yang berakal dan mampu membuat timbang tara baik buruk, dan kita gelarkan pula gajah, salah satu pemilik hak mutlak sumber rimba sebagai gangguan. Salah siapa? Siapa mulakan dahulu perang ini? Siapa dahulu yang meragut hak? Siapa yang sebenarnya zalim?

Seperti kebiasaan, jika berlaku konflik di antara dua pihak akan berlaku situasi menang kalah. Ada yang mati ada yang cedera. Bila matinya sang gajah, kita gelar itu kemenangan, padahal, bagi itu adalah suatu kehilangan yang besar, lebih besar daripada nilai getah sekerap satu tan, lebih besar daripada nilai kelapa sawit satu tan. Bila berlaku pula kehilangan nyawa manusia, kita mengisytiharkan perang, yang sebenarnya dimulakan oleh kita sendiri. Kita yang bersalah. Kita yang mulakan perang ini. Kita yang meragut hak. Kita yang sebenarnya maha zalim. Kerana dengan nama ekonomi kita hidup dan kita mati.

Panjangnya aku membebel.

All over the world the wildlife that I write about is in grave danger. It is being exterminated by what we call the progress of civilization.

No comments: