Thursday, May 5, 2011

DI SEBALIK PAGAR BESI

Aku ada terbaca sebuah artikel kolumnis di dalam akhbar atas talian The Star, yang bertajuk Do we still need zoos? . Artikel yang amat menarik untuk dibaca dan dijamah minda. Pendapat dan cadangan yang bijak serta diselang-selikan dengan rasa tidak puas hati terhadap pihak berwajib.
Artikel menyentuh tentang berleluasanya pengabaian kebajikan haiwan, khususnya hidupan liar yang terkurung di sebalik tirai-tirai besi atas nama eksploitasi demi keuntungan yang berselindung di balik nama zoo serta kurangnya perhatian yang diambil oleh pihak berwajib, yakni Jabatan PERHILITAN (Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara).
Di sini aku ingin bersifat neutral, segala pendapat aku di sini adalah atas dasar peribadi, dan bukan mewakili mahupun menyokong mana-mana pihak, kerana bagi aku, kesedaran tentang betapa pentingnya coexistence antara manusia dan hidupan liar, bukan bergantung kepada paksaan, ia adalah satu fitrah yang harus dijana sendiri oleh minda yang waras serta logik.
Sejak dahulu lagi aku tidak menyokong tindakan sesetengah pihak individu mahupun apa-apa badan mengambil hidupan liar sebagai peliharaan suka-suka (lain pula dengan konservasi ex-situ), kerana bagi aku hidupan liar bukan diciptakan di dunia ini untuk menuruti fitrah manusia yang menginginkan suka-suka, tapi fitrah hidupan liar sudah ada padanya sendiri, untuk dirinya sendiri dan bukan manusia.
Sememangnya kita saling bergantungan sesama sendiri dalam membentuk sebuah ekosistem, namun itu tidak bermaksud kita harus menggauli dua dunia itu menjadi satu. Kebergantungan di sini boleh aku ibaratkan seperti kek lapis dari Sarawak, segala rencah dan manisan berada dalam satu kelompok, tersusun rapi, enak dimakan, walau segala rencah dan manisan tidak tergaul sekali, ia ada pada tempat masing-masing. Itu adalah kebergantungan yang indah, sudah ditetapkan. Bayangkan jika segala rencah dan manisan bergaul sekali sehingga hilang rupa cantik serta rasa yang asing-asing, putus selera. Bagitulah coexistence antara manusia dan hidupan liar, saling bergantung namun ada fungsi masing-masing.
Jadi tindakan mengambil hidupan liar dari dunia mereka dan memasukkan mereka di dalam dunia kita, seakan-akan melakukan sebaliknya kepada manusia. Kita berbicara tentang adaptasi hidupan itu. Bukan mudah bagi seekor haiwan yang nalurinya liar, dilahirkan untuk mengejar atau dikejar, menyambar dan bergayut, dirantai dan diperukkan di dalam sangkar, serta saban hari dikelilingi manusia. Itu bukan hidup mereka.
Aku akui, disebalik pembinaan sesebuah zoo, ada tujuan baik, iaitu mendekatkan manusia dengan hidupan liar dan sama-sama menikmati keindahan ciptaan Tuhan itu, namun jika dilihat berulang kali, kebaikan ini sering diatasi oleh keburukan, jadi penilaian semula harus dilakukan, dan alternatif lain harus dicari. Pendapat aku, keindahan hidupan liar itu terletak kepada kebebasannya dalam menjalankan fitrah tanpa disekat.
Tambah buruk jika hidupan liar itu tidak dilayan seperti sepatutnya sebagaimana yang berlaku di beberapa buah zoo di negara kita. Segala macam dari sampah sehingga ke barangan yang tidak sepatutnya dicampak ke dalam sangkar di zoo. Seperti kes di Zoo Johor, Orang Utan yang ketagihan merokok akibat daripada melihat tabiat jijik manusia merokok di kawasan sangkar dan melemparkan puntung rokok ke dalam sangkar. Itu keterlaluan. Ini yang harus ditentang. 
Jika terlalu mendesak keperluan zoo itu, segala aspek harus diambil berat, dari segi kebersihan, kebajikan, kesihatan, serta gaya pemakanan dan tidak lupa juga penyediaan habitat harus seakan-akan serupa dengan habitat asal hidupan itu. Jangan dikurung ungka dan lotong di dalam sangkar dawai mata punai berlantai konkrit basah, itu bukan rumah mereka. Layanlah mereka dengan hak dan tanggungjawab. Hormatilah mereka.

God loved the birds and invented trees. Man loved the birds and invented cages.
 - Jacques Deval -

No comments: