Wednesday, April 27, 2011

DENGAN NAMA EKONOMI, KITA HIDUP DAN KITA MATI III - AMANAH YANG SEDANG DIKHIANATI

Aku baru pulang dari menjalankan beberapa tugas minor dan major di negeri Darul Makmur atau negeri Felda. Seberangkatan aku ke sana, pelbagai rasa dan jalan aku jumpa. Dari laluan pecut lebuh raya utara selatan sehingga jalan-jalan Felda serta denai-denai desa untuk sampai ke destinasi aku, Taman Negara. Mahu spesifik lagi, Taman Negara Kuala Tahan, Jerantut, Pahang.
Itu kali kedua aku kesana. Kali pertama bulan April tahun lepas, dengan sebab tugasan juga. Beruntung kiranya aku. Bukan semua orang boleh dan mampu sampai ke sana. Lagipun, masih adakah rakyat Malaysia yang kepingin benar ingin ke sana? Masih adakah rakyat Malaysia sedar akan wujudnya permata hijau yang semakin pudar di tanah ini?
Kita lari sejenak dari sejuknya hutan dan dinginnya chegar serta jeram. Mari kita cerita tentang musuh sebenar keindahan permata hijau; pembangunan.
Malaysia, seperti yang dicanang-canangkan di dada montok silikon media negara, pernah diangkat dan ditiarakan sebagai salah satu daripada 17 negara Megadiverse atau Megakepelbagaian (sila rujuk sini dan di sini untuk takrifan yang lebih lengkap dan tepat). Ia merujuk kepada betapa kayanya sistem biodiversiti negara itu dengan spesis-spesis biologikal yang jumlahnya hampir separuh dari jumlah yang terdapat di dalam dunia.
Sebagai contoh mudah, kita andaikan jumlah keseluruhan Seladang (Bos gaurus hubbacki) adalah 1000 ekor di seluruh dunia (sebenarnya lebih sedikit ia semakin sedikit hari demi hari), dan 500 ekor daripadanya menghuni habitat di hutan Malaysia, maka secara kasar ia melayakkan Malaysia digelar negara Megadiverse, namun banyak lagi spesis lain juga diambil kira, termasuk spesis flora dan mikroorganisma lain.
Aku petik kata-kata bijak ini;
"With great power, there must also come - great responsibilities" Amazing Fantasy #15 (August 1962)
Apa yang aku cuba nyatakan di sini adalah, kesinambungan kuotasi itu dengan apa yang telah negara kita ditiarakan. Di dalam kuotasi atau petikan itu ada menyebut tentang "power" atau kuasa. Ia cuba menerangkan bahawa kuasa bukan hanya hadir saja-saja, tetapi hadir kuasa itu dengan beban dan bala tanggungjawab yakni sebab-musabab mengapa kita dikurniakan kuasa itu.
Sama juga dengan situasi salah sebuah daripada 17 Negara Megadiverse. Hadir bersama gelaran itu adalah beban tanggungjawab yang juga merupakan amanah. Ia bukan sekadar gelaran yang datang dari persidangan meja kopi hujung alor. Ia datang dari simposium sedunia, ini amanah dunia, jika kita abai amanah, makna kita khianat.

Aku sedang melihat yang berlaku adalah bertentangan. 
Kita melambung bila dipuji, bila diberi gelaran mulia dan enak-enak, kita suka orang cerita-cerita baik tentang kita, maksud aku "kita" itu adalah seluruh rakyat Malaysia tidak terkecuali bapa-bapa politikus dan pemimpin-peminpin serta kuli-kuli segala. Tetapi, kala sedang dipuji, kita alpa terus kepada segala amanah, gelaran, tanggungjawab serta fungsi sebenar kita dalam mengiyakan segala pujian-pujian itu.
Beribu hektar tanah hutan kita pugar, berjuta batang bakau kita cantas, beratus bukit gunung tanah merah kita rata, bertan-tan pasir kita sedut dari perut sungai, habis batu kapur meletup untuk dirikan berhala-berhala kapital, habis gajah tidak berumah, kelah di sungai mati lemas, memerang meratap pemergian temoleh, harimau tiada lagi teman berhambat. Negara Malaysia, salah sebuah negara Megadiversiti.
Aku terbayangkan, gelaran tiara itu ditarik balik. Malu. Tapi ada anak muda kita yang mahu tahu?
Panthera tigris, Elephas maximus, Bos gaurus, Sus scrofa, tidak lupa Macaca fascicularis telah mengisytiharkan perang terhadap kita, perang kerana mengkhianati amanah dunia untuk menjaga mereka. Kita mengkhianati khazanah kita sendiri. Kita mengkhianati amanah anak-anak kita. 
Kita sedang menyembah dewa kultus yang kita gelar sebagai pembangunan dan modernisasi. Dewa yang menyeru ketamakan.
Dengan nama ekonomi, kita hidup dan kita mati!

It is horrifying that we have to fight our own government to save the environment. 
- Ansel Adams -

No comments: