Friday, November 4, 2011

TONTON DAN FAHAMI

Wednesday, October 12, 2011

DENGAN NAMA EKONOMI KITA HIDUP DAN KITA MATI VI

Memoir Gunung Tahan I

Di balik relung-relung luas terhampar hijau itu,
aku lihat, ada tompok-tompok putih kapas menghijabi dada-dada relung hijau itu.
Di antara gebu-gebu kapas itu ada montok-montok hijau bersaing mendada ke atas mengadap Tuhan langit.

Di luas hamparan hijau itu juga, aku lihat,
ada lurah-lurah cinta yang merekah indah ciptaanNya.
Biarpun ia bisa membunuh tatkala langkah tersilap, ia masih indah,
indah yang bisa membinasakan kiranya lalai, bukan salah ia,
Tuhan darat menciptanya sebegitu.

Advencer aku, sang pendusta, di atas sana meruntun pangkal jiwa.
Di tinggi sana, bagai dapat mencapai listrik Tuhan darat dan langit.
Darah aku, seorang pendusta, bergemuruh.
Jiwa aku, seorang pembelot, keliru.
Ketul daging hitam di dalam dada bagai di sentap-sentap urat dari tulang.
Terkedu. Terduduk. Tersedu.

Dingin air di kali puncak itu menusuk-nusuk liang roma bagai jarum-jarum miang.
Namun, ia adalah penyeksaan terindah.
Penyeksaan suci demi Tuhan darat dan langit.
Dingin air itu aku iringi bersama niat.
Mulanya di muka, akhirnya di hujung tumit.

Sepoi dingin hembusan Subuh membakar kulit gersang ini.
Kulit seorang pendusta.
Kulit seorang pembelot.
Berkeriut sendi-sendi hitam menahan ketar.
Tikar putih itu yang sedia terhampar dek sahabat, yang setia pada Tuhan langit dan darat,  mendapat kunjungan aku.

Setiap lafaz, aku iringi dengan jernih yang mengalir dari mata.
Setiap pujian, aku iringi dengan sedu-sedan.
Jiwa aku yang kalut ini, meronta-ronta.
Mahu saja aku menjerit, mengapa, mengapa dan mengapa.

Tuhan langit dan darat yang satu,
Mencipta yang indah dengan tujuan tertentu,
Mengapa harus diciptakan aku,
Yang pendusta lagi palsu. 

Monday, August 8, 2011

DENGAN NAMA EKONOMI KITA HIDUP DAN KITA MATI V

Ya, memang benar, negara kita perlu membangun, negara kita perlu maju ke depan, negara kita harus berkembang. Dan semua itu kita lakukan atas dasar meningkatkan ekonomi. Pemodal-pemodal kita panggil, kita lobi, kita rayu, datang ke Tanah Hujung, buka kilang, buka pejabat, buka rumah-rumah tumpang mewah, buka pusat-pusat rehat, buka tempat beli-beli barang mewah. Maka, berduyun-duyun datang para pemodal membawa benih-benih kapital untuk disemai di atas tanah-tanah hijau Tanah Hujung ini.

Tanah-tanah hijau itu, kita gemburkan untuk mereka, kita lapangkan untuk mereka, kita ratakan untuk mereka. Para kapital datang bagai santau angin, terbang senyap memijak tanah kita, benih-benih kapital baru mereka semai dalam tanah kita yang dahulu hijau kembung dengan daun-daun dan batang-batang keras balak yang dulunya pasak-pasak tanah hijau itu kini menjadi sandang-sandang tiang konkrit kilang-kilang, pejabat-pejabat,rumah-rumah tumpang mewah, pusat-pusat rehat, tempat beli-beli barang mewah.

Tanah-tanah hijau itu, kijang berlari mengacah sang belang, babi hutan menyondol manja tanah gebu, gajah bersiram meriah ditumpang unggas, ungka siamang becok bertukar sorakan, enggang intim berkasih berpacaran di balik lubang-lubang kayu, deru aliran cegar mendesah jiwa-jiwa raja sungai, Kejar berkejar bersama Daun dalam deras yang berputih jernih, indah benar tanah-tanah hijau itu. Sebelum kapital datang memijak.

Tanah-tanah hijau yang dulunya gebu kini kering kontang dan gersang, tempat-tempat bersiram kini diampang disekat, gelanggang bersorak kini rata ditolak, tiada lagi tempat bercumbu mesra untuk pasangan bahagia, songsang sudah aliran cegar, tiada lagi kelibat kilau dalam deras, duka dan hampa, tanah-tanah hijau sudah mati.

Kini, kapital itu kita sembah, kapital itu kita julang, kita sudah lupa akan tanah-tanah hijau kita yang kita sendiri ratakan untuk mereka, kita sendiri menggadai pusaka, kita sendiri mencabul hak, semua kita lakukan atas nama ekonomi, kerana, dengan nama ekonomi kita hidup dan kita mati.

Friday, August 5, 2011

DENGAN NAMA EKONOMI KITA HIDUP DAN KITA MATI IV

RE: SATU LAGI MALAPETAKA

Kelmarin, sedang aku sedap melayan kemabukkan Twitter, aku terbaca di garismasa Twitter daripada salah seorang sahabat aku @comradenami, di situ beliau ada menyatakan rasa terharunya selepas selesai membaca salah satu entri blog yang ditulis di blog Tukar Tiub, dan anda boleh baca entri itu di sini.

Bergegas aku membuka laman blog Tukar Tiub, terliur aku ingin mambacanya, mungkin entri kali ini sudah kurang baur-baur politiknya. Ya, memang benar, salah satu entri terbaik dari Tukar Tiub jika dibandingkan entri-entri lain yang menganjing Bik Mama dan Suami beliau.

Aku bukan seorang yang purist dalam skop environmentalist, namun di dalam darah aku mengalir rasa sayang dan cinta akan alam semulajadi ini, mungkin ia disakakan dari Abah aku dan dalam masa yang sama ia sudah menjadi skop bidang kerja aku yang memerlukan benar aku dekat dengan alam semulajadi dan isi-isinya.

Semua sedia maklum, negara kita kononnya sekarang berada dalam proses membangun, dan proses itu dikatakan berjaya. Kita menghampiri status negara maju, namun, yang maju itu hanya bangunan tinggi-tinggi, yang maju itu hanya stok-stok saham, yang maju itu hanya kilang-kilang, yang maju itu hanya loji-loji kuasa, dan yang maju itu hanya para kapitan-kapitan yang menyogok dan merasuah. Tetapi majukah mentaliti rakyat kita.

Memang benar, kita dihimpit oleh desakan ekonomi. Para petani harus menebang dan memugar tanah-tanah bukit untuk bercucuk tanam demi sesuap nasi dan sehari gaji. Tanah serelung sekakangkang kera ditanam pisang dan jagung diselang seli kacang panjang dan ubi kayu. Tiga perempat hasil dijual di pekan, satu perempat disimpan buat mengisi kantung-kantung anak isteri. Itu lumrah hidup petani.

Itu kisah petani. Kebun sekangkang kera, cukup makan. Primitif.

Lereng-lereng bukit, yang dahulunya megah dengan pohon-pohong keruing, meranti, tualang, tampoi, dan depu, menjadi pasak bumi, menjadi tempat ungka dan siamang bergayut, menjadi sumber buah bagi napuh dan pelanduk di bawah, menjadi tempat gajah menggaru belakang, menjadi tempat harimau menanda teritorinya, menjadi sangkar lebah dan kelulut juga makanan kepada sang beruang,  tempat burung-burung enggang bersarang di celahan rekah lubang pokok, dan tumbangnya pokok itu secara semulajadi akhirnya menjadi makan kepada parasit dan kulat tumpang hidup, hingga akhir hayat pokok itu jasanya belum habis.

Namun kini, hanya tinggal lereng-lereng botak dan berlumuran darah luka aliran air bukit melecetkan tanah merah derenyak dengan tayar-tayar besi jentolak dan jengkaut serta lori-lori hantu mengangkut pasak,tempat bergayut, sumber makanan, tempat menggaru, tempat menanda, sangkar sumber makanan, dan tempat bersarang keluar dari tempat ia berhak mati dan mereput.

Semua ini terjadi atas dasar ekonomi dan pembangunan.

Untuk pengetahuan anda, hidupan liar di dalam hutan senantiasa bergerak dalam lingkaran berkeliaran dan ia diwarisi turun temurun. Kita ambil gajah sebagai contoh. Gajah yang mendiami kawasan hutan kita adalah dari spesis Elephas maximus yang tingginya adalah dari 2.5 meter hingga 3 meter pada paras baru dan mencecah berat sehingga 5,000 kg atau 5 tan sentiasa bergerak dalam kumpulan yang terdiri dari 3 sehinggah 40 ekor dan dianggotai seekor gajah betina paling tua. [sumber]

Dengan mempunyai fizikal yang besar, gajah memerlukan sumber makanan yang banyak, tambahan pula jika bergerak ia bergerak dalam kumpulan. Namun secara kasar, sumber makanan gajah yang bersifat herbivor tidak susah didapati di dalam hutan kita yang kaya dengan tumbuh-tumbuhan. Diet gajah terdiri daripada buluh, rotan, spesis-spesis palma lain dan pisang hutan. Sumber ini banyak di dalam hutan kita, yang menjadi permasalahan ialah, gajah adalah sejenis haiwan nomad dan tidak menempat di sesuatu tempat dalam sesuatu tempoh masa lama, ia bergerak dari satu kawasan ke satu kawasan secara berkumpulan.

Jika sesuatu kumpulan gajah itu pernah singgah di suatu tempat di dalam hutan sekan-akan transit, dengan izin Maha Pencipta gajah akan tiba lagi di tempat itu suatu masa lain, kerana ia seakan-akan bergerak di dalam suatu pusingan, ia adalah ilham yang ada pada gajah demi menjaga keterusan sumber makanan mereka sendiri.

Tetapi, apa bakal terjadi, jika terdapat campur tangan manusia dalam hal itu. Kitaran yang selama ini bergerak lancar dengan transit-transit yang sempurna, tiba-tiba rosak salah satu transit itu, rosaknya menjadi kebun pisang, getah, nanas, tebu, sawit dan tidak kurang juga menjadi penempatan kepada manusia. Gajah yang selama ini di dalam memorinya, tempat itu adalah transit mereka dahulu kini menjadi ladang, menjadi penempatan, menjadi Felda dan sebagainya. Hiawan tiada akal, mereka cuma ada ilham dan ingatan, jika dahulu itu transit mereka, selamanya itu transit mereka, itu hak mereka, itu sumber makanan mereka, itu tanah meraka.

Jadi, berlakulah, apa yang kita gelarkan konflik hidupan liar, konfilk yang pada dasarnya dimulakan oleh kita sendiri, yakni manusia, yang berakal dan mampu membuat timbang tara baik buruk, dan kita gelarkan pula gajah, salah satu pemilik hak mutlak sumber rimba sebagai gangguan. Salah siapa? Siapa mulakan dahulu perang ini? Siapa dahulu yang meragut hak? Siapa yang sebenarnya zalim?

Seperti kebiasaan, jika berlaku konflik di antara dua pihak akan berlaku situasi menang kalah. Ada yang mati ada yang cedera. Bila matinya sang gajah, kita gelar itu kemenangan, padahal, bagi itu adalah suatu kehilangan yang besar, lebih besar daripada nilai getah sekerap satu tan, lebih besar daripada nilai kelapa sawit satu tan. Bila berlaku pula kehilangan nyawa manusia, kita mengisytiharkan perang, yang sebenarnya dimulakan oleh kita sendiri. Kita yang bersalah. Kita yang mulakan perang ini. Kita yang meragut hak. Kita yang sebenarnya maha zalim. Kerana dengan nama ekonomi kita hidup dan kita mati.

Panjangnya aku membebel.

All over the world the wildlife that I write about is in grave danger. It is being exterminated by what we call the progress of civilization.

Tuesday, June 14, 2011

RE: FUCKING ENVIRONMENTALIST

Respon kepada penulisan Hellioz
Mungkin penulisan beliau kadangkala agak bersifat pasif dan pesimis, namum di sebalik bait-bait panas dan pedas menikam dan berhambur benci, ada benarnya kata-kata saudara/i Hellioz itu.
Umum mengetahui, dewasa ini, kesedaran berkenaan betapa pentingnya menjaga alam sekitar mahupun alam semulajadi seakan-akan sedang berputik di hati kalangan masyarakat Malaysia malahan dunia. Itu mungkin hanya di mata aku. Kerana aku juga, mungkin, mengambil berat akan hal ini. Bagaimana dengan yang lain, adakah mereka juga peduli.
Ketika ramai yang berkata perubahan iklim merupakan satu temberang, dan hanya merupakan satu muslihat korporat untuk mengkayakan kapitan-kapitan yang semakin ketandusan idea dalam mempengaruhi minda pembeli-pembeli, aku masih berpegang yakin kepada tindakan aku, yang cuba berusaha sedaya mungkin, memperlahankan kemusnahan dunia ini.
Namun, kadangkala aku kecewa dan sedih, usaha aku ini seakan-akan perjuangan seorang, bukan perjuangan kumpulan atau komuniti. Sedang bungkusan gula-gula getah aku lipat masuk ke dalam kocek, aku terbayangkan sejuta diri aku yang lain sedang membuang sampah itu ke lantai. Betapa hancur luluh hati aku.
Aku lebih suka tidak menyalahkan orang lain, kerana aku juga bukan sempurna, namun aku mencuba.
Pernah sekali, di pasar malam, sedang aku menjamah bihun sup bersama anak perempuanku; di hadapanku ada seorang ibu dan anak lelaki, ibu umurnya sudah lanjut, anak pula masih mentah. Mereka berdua menjadi perhatian aku, setelah bekas minuman plastik di tangan anak itu di buang laju ke dalam longkang atas arahan ibunya. Lantas, aku berbisik di telinga anak perempuan aku yang masih belum mengerti apa-apa
"Fitrah, Abah harap bila Fitrah dah besar nanti, Fitrah ada kekuatan untuk menegur orang seperti itu, dan menyatakan itu salah."
Aku sedar, aku sendiri masih belum mampu mengubah sesuatu yang sekian lama sudah menjadi tabiat makhluk yang dipanggil manusia.
Sering juga aku memberitahu para pelajar yang datang ke tempat aku, bahawasanya bumi sudah terlalu usang dan sudah musnah teruk, ia sudah tidak dapat dipulihkan seperti sediakala, kita hanya mampu memperlahankan proses kemusnahan, namun ia seakan-akan sebuah retorik, mana mungkin proses itu dapat diperlahankan. Aku setuju dengan pendapat Hellioz, setiap hari, berjuta-juta bayi dilahirkan di dunia dan penggunaan sumber semakin bertambah hari demi hari, tiada pengurangan, yang hanya mampu kita lakukan kini hanya mencuba dan terus mencuba, biarlah usaha aku ini berterusan walau seakan anjing menyalak gunung.

"All human can do is actually slowing the process of destruction."
- Hellioz -